Followers

Facebook Comments

Thursday, October 21, 2010

PROGRAM BAKTI SISWA SINAR HARAPAN









TAJUK : BICARA HATI PENGARAH PROGRAM “BAKTI SISWA SINAR HARAPAN”

Oleh : Muhammad Syukri Bin Basri @ Boseri

Emel : syukriebasrie@gmail.com

BISMILLAHIRAHMANIRRAHIM.

ASSALAMUALAIKUM WARAHMATULLAHI WABARAKATUH.

Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan” begitulah ungkapan yang dapat digambarkan dalam pelaksanaan projek BAKTI SISWA SINAR HARAPAN yang berkonsepkan 1 Malaysia di samping menyumbangkan kerja amal di bulan yang mulia Ramadhan Al-Mubarak. Projek ini telah diadakan pada 28 dan 29 Ogos 2010 bertempat di Pusat Jagaan Harian Warga Emas, Cheras Baru, Kuala Lumpur anjuran Jawatankuasa Perwakilan Kolej Universiti Teknologi MARA Kampus Puncak Alam sekaligus dirasmikan oleh Timbalan Menteri Pengajian Tinggi Malaysia, Yang Berhormat Dato’ Saifuddin Abdullah.

Setelah melalui liku-liku mencabarkan sepanjang proses pelaksanaan projek BAKTI SISWA SINAR HARAPAN, bersyukur ke hadrat Illahi dengan limpah dani izin Allah SWT akhirnya saya, selaku Pengarah Projek dapat merealisasikan pelaksanaan projek tersebut dengan tekad dan semangat yang ada pada diri saya dan para sahabat seperjuangan saya. Pada mulanya, kelihatan agak sukar untuk meneruskan projek tersebut, namun sokongan dan kepercayaan daripada pihak keluarga, pihak pengurusan kolej dan para sahabat saya telah memberi sokongan kepada saya telah menjadi faktor pendorong kepada saya untuk terus berjuang sehingga menempuh kejayaan yang sukar dilupakan dalam hidup saya dan para sahabat saya sebagai pemimpin pelajar selama ini.

Sepanjang projek ini berlangsung, pelbagai agenda telah kami laksanakan untuk memeriahkan lagi suasana di Pusat Jagaan Harian Warga Emas bersama warga emas yang prihatin dengan kehadiran kami. Kakitangan di Pusat Jagaan Harian Warga Emas juga turut membantu kami dalam menjayakan projek yang sungguh bermakna ini khususnya kepada Pengerusi Pusat Jagaan Harian Warga Emas iaitu Yang Berbahagia Datuk Nordin Ibrahim yang banyak membantu kami di saat kami memerlukannya. Beliau telah memberi kebenaran untuk kami mengadakan projek di tempat beliau serta memudahkan kami berurusan di tempat tersebut. Kami juga amat bersyukur dan berpuas hati dengan kerjasama yang telah diberikan oleh warga di Pusat Jagaan Harian Warga Emas di situ.

Pada 28 Ogos 2010, kami telah menjalani beberapa projek yang berorientasikan pendidikan pengajian tinggi. Antaranya ialah senaman ringan dan pemeriksaan kesihatan yang dilaksanakan oleh pelajar dari Fakulti Sains Kesihatan. Senaman ringan dan pemeriksaan kesihatan tersebut bertujuan untuk memberi kecergasan untuk kesihatan warga emas. Selain itu, kami telah mengadakan satu pameran kesihatan dan perubatan yang dilaksanakan oleh pelajar dari Fakulti Farmasi. Pameran tersebut telah memberi pengetahuan dan informasi kepada warga emas mengenai masalah-masalah kesihatan yang dialami dalam usia emas dan penjagaan kesihatan yang harus dititikberatkan oleh warga emas. Warga emas juga didedahkan tentang kegunaan ubat-ubatan yang merupakan salah satu ikhtiar untuk merawat penyakit yang dialami oleh setiap orang. Di samping itu, kami turut mengadakan sesi wawancara bersama Pengerusi Pusat Jagaan Harian Warga Emas iaitu Datuk Nordin Ibrahim yang dilaksanakan oleh pelajar Fakulti Pengurusan dan Teknologi Pejabat. Sesi wawancara tersebut memberi peluang kepada pelajar untuk mengkaji sejarah penubuhan Pusat Jagaan Harian Warga Emas dan sekaligus mengenalpasti latar belakang beliau. Beliau sangat prihatin dan peramah dalam sesi wawancara tersebut. Pada masa yang sama, kami turut melaksanakan sesi bergotong royong di sekitar tempat tersebut.

Pada 29 Ogos 2010, pihak kami telah mengadakan satu Majlis Perasmian Bakti Siswa Sinar Harapan yang diadakan pada jam 5.15 petang di Pusat Jagaan Harian Warga Emas. Kehadiran Yang Berbahagia Prof Sr Ir Dr Suhaimi Abdul Talib, Penolong Naib Canselor Universiti Teknologi MARA Kampus Puncak Alam bersama Encik Adnan Omar, selaku Timbalan Pengarah Kampus, Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (HEPA) Universiti Teknologi MARA Kampus Puncak Alam bagi melancarkan lagi perjalanan majlis tersebut. Sejurus beberapa minit kemudian, kami menjemput ketibaan Pegawai-pegawai Penaja dan paratetamu VVIP. Akhir sekali, kami turut menyambut ketibaan Timbalan Menteri Pengajian Tinggi Malaysia iaitu Yang Berhormat Dato’ Saifuddin Abdullah serta isteri beliau. Pihak kami memberi peluang para tetamu jemputan untuk menjalani ibadah solat fardhu Asar terlebih dahulu sebelum meneruskan program Majlis Perasmian tersebut. Kami juga mengalami masalah kelewatan pihak “catering” untuk persiapan meja makan dan pemakanan untuk persediaan juadah bagi Majlis Berbuka Puasa. Agak sukar digambarkan dengan perasaan saya ketika itu yang sangat risau bagi kesulitan yang telah dialami tersebut. Namun, saya amat bersyukur kepada Allah SWT kerana telah mempermudahkan urusan kami dan segala masalah persiapan pemakanan dapat diselesaikan mengikut masa yang telah ditetapkan.

Setelah selesai menunaikan solat fardu Asar, kami meneruskan program Majlis Perasmian Bakti Siswa Sinar Harapan tersebut. Kami telah memberi peluang untuk berucap kepada Yang Dipertua Jawatankuasa Perwakilan Kolej Rafflesia Angsana 2010 Universiti Teknologi MARA Kampus Puncak Alam, Pegawai-Pegawai Penaja, Naib Canselor (diwakili oleh Penolong Naib Canselor), Pengerusi Pusat Jagaan Harian Warga Emas dan akhir sekali Timbalan Menteri Pengajian Tinggi Malaysia iaitu Dato’ Saifuddin Abdullah. Kami telah menyediakan satu tayangan video untuk tatapan para tetamu jemputan tentang perjalanan projek kami sepanjang program Bakti Siswa Sinar Harapan dilaksanakan. Majlis tersebut sekaligus diakhiri dengan perasmian oleh Dato’ Saifuddin Abdullah, Timbalan Menteri Pengajian Tinggi Malaysia.

Sementara menunggu azan Maghrib berkumandang bagi Majlis Berbuka Puasa, Dato’ Saifuddin Abdullah serta isteri mengambil kesempatan untuk meluangkan masa untuk berinteraksi bersama warga emas dan para pelajar untuk mengeratkan lagi hubungan silaturrahim antara kami semua. Tepat jam 7.25 petang, setelah azan Maghrib telah berkumandang, kami meneruskan Majlis Berbuka Puasa bersama Dato’ Saifuddin Abdullah. Sejurus beberapa minit kemuadian kami menjemput Dato’ Saifuddin untuk menunaikan solat fardhu Maghrib bersama para muslimin dan muslimah. Selepas selesai solat fardhu Maghrib, kami teruskan dengan sesi fotografi bersama Dato’ Saifuddin bersama para tetamu jemputan sebagai kenangan bagi pihak kami. Di akhir majlis, kami mengiringi Dato’ Saifuddin Abdullah serta isteri masuk ke dalam kereta untuk pulang. Para tetamu jemputan juga turut pulang. Pada masayang sama, saya juga berasa lega selepas tamat program tersebut. Kami Jawatankuasa Perlaksana juga pulang ke kampus kami.

Secara kolektifnya, saya telah mengimplimentasikan tanggungjawab yang diamanahkan kepada saya sebagai seorang pemimpin pelajar iaitu Jawatankuasa Perwakilan Kolej Rafflesia & Angsana 2010 Universiti Teknologi MARA Kampus Puncak Alam dan sekaligus kami telah menunaikan hasrat bonda kami untuk mengadakan program yang berkonsepkan “1 Malaysia” iaitu Yang Berbahagia Prof Dr Azni Zain Ahmed yang merupakan bekas Penolong Naib Canselor Universiti Teknologi MARA Kampus Puncak Alam pada semester yang lepas. Harapan saya semoga program ini dapat diteruskan di masa akan datang untuk berbakti kepada masyarakat yang sangat memerlukan perhatian dan sumbangan daripada kita semua. Walaupun terpaksa melalui pelbagai cabaran yang perlu dihadapi, namun kerja amal ini boleh kita pelajari dari pengajaran serta dijadikan amalan kita di dunia sebagai bekalan kita untuk di akhirat kelak. Insya Allah. Segala yang buruk adalah datang daripada kita sendiri dan segala yang baik adalah datang dari Allah SWT. Terima kasih kepada pihak yang terlibat dalam menjayakan program “BAKTI SISWA SINAR HARAPAN”.


No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

autumn

autumn

snow

snow

INTERNATIONAL